Hari ini saya telah menyempurnakan penyerahan bantuan Program Dharma MADANI Fasa Pertama berjumlah RM3.1 juta kepada 155 buah rumah ibadat Hindu dari seluruh negara.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI serta kerjasama erat dengan kepimpinan komuniti dalam memperkasa institusi rumah ibadat Hindu sebagai tunjang kesejahteraan, keharmonian dan pembangunan rohani masyarakat India.
Program Dharma MADANI merupakan antara usaha strategik Kerajaan MADANI untuk memperkukuh peranan rumah ibadat bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat komuniti setempat yang menjalankan aktiviti pembelajaran, kerohanian, kebudayaan serta pembangunan sosial masyarakat.
Sejak pendaftaran dibuka, sebanyak 915 permohonan telah diterima dan diteliti oleh MITRA selaras dengan prinsip tatakelola yang baik serta peraturan yang berkuat kuasa. Baki permohonan akan terus diteliti secara berperingkat, dan pihak MITRA akan memaklumkan keputusan rasmi kepada pihak rumah ibadat yang terlibat dari semasa ke semasa. Saya juga mengumumkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju supaya MITRA dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia.
Saya yakin bantuan ini diyakini akan memperkukuh pelaksanaan agenda pemerkasaan komuniti India secara lebih bersepadu, inklusif dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan untuk semua.